Jenama Malaysia menang ‘peperangan chili crunch’

Syarikat gergasi AS, Momofuku tarik balik tuntutan berhubung pertikaian dengan perniagaan kecil, Homiah

10:48 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas mencetuskan perang ‘perebutan’ yang mencabar, restoran makanan gergasi Momofuku akhirnya membuat keputusan menghentikan tindakannya untuk memonopoli penggunaan nama ‘chili crunch’.

Keputusan itu dibuat selepas berdepan protes dan liputan buruk, susulan tindakan pihak restoran menghantar puluhan surat larangan dengan meminta kebanyakan perniagaan lain tidak menggunakan nama itu, sekali gus menyaksikan Momofuku yang dimiliki selebriti Amerika, David Chang memutuskan untuk tidak meneruskan tuntutannya.

“Sepanjang minggu lalu, kami mendengar maklum balas dari komuniti kami dan kini memahami bahawa istilah chili crunch mempunyai makna yang lebih luas.

“Situasi (tuntutan) ini mewujudkan ‘perpecahan’ antara Momofuku dengan komuniti AAPI (Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik) yang kami ambil peduli dan syarikat lain berkaitan.

“Tetapi hakikatnya, kita semua mahukan perkara sama, iaitu untuk berkembang, berjaya dan menjadikan kedai runcit Amerika tempat yang lebih pelbagai,” tambahnya.

Pengasas jenama makanan Malaysia, Michelle Tew bersama dua jenis produk sambal kebanggaannya. – Gambar Instagram @homiahfoods, 16 April, 2024

Pertikaian itu menjadi tular dengan Michelle Tew, pengasas jenama makanan Malaysia, Homiah antara penentang utama.

Resipi perencah cili Peranakan Tew diwarisi dari nenek moyangnya yang wujud sejak tahun 1940-an manakala produk Chang hanya tersedia sejak tahun 2018.

Sebelum ini, Chang cuba menghentikan usahawan kecil daripada menggunakan nama chili crunch atau chile crunch pada label mereka untuk melindungi jenama sos Chili Crunch milik Momofuku.

Jenama ‘Sambal Chili Krnch’ keluaran Malaysia milik Homiah. – Gambar Instagram @homiahfoods, 16 April, 2024

Perniagaan itu diberi masa 90 hari untuk mematuhi tuntutan Chang, menurut Daily Mail.

Bagaimanapun, Momofuku ketika ini tidak memiliki hak cipta berdaftar untuk chili crunch kerana ia hanya memulakan proses pengambilan dengan pejabat paten AS pada 29 Mac.

Penentang Chang mendakwa selebriti chef itu cuba mengawal pasaran perencah dengan ‘trademark bullying’ (pembulian jenama dagangan) terhadap perniagaan kecil.

Tew berkata, surat diterima pihaknya mendakwa Momofuku adalah ‘pemilik tunggal semua hak jenama dagang’ bagi perencah dengan perkataan chile crunch atau chili crunch.

Surat itu memberitahu Tew bahawa produk makanannya, Homiah Sambal Chili Crunch, yang unggul sebagai ‘Sambal Chili Krnch’ berdasarkan resipi keluarganya, adalah pencabulan hak cipta.

Tew berkata, Momufuku bimbang pembeli akan keliru antara botol Homiah Sambal Chili Crunch dengan botol Momofuku Chili Crunch, walaupun dua perencah itu mempunyai label sangat berbeza.

Namun, surat larangan dan tuntutan pemberhentian dikeluarkan Momofuku, menyatakan bahawa ia sudah ‘menawarkan’ perencah cili crunch sejak 2018, dengan botol perencah cili mereka hanya tersedia kepada pembeli mulai 2020.

Merasa ‘dikhianati’ Chang, Tew menggambarkan surat itu sebagai sangat mengecewakan

Jenama ‘Chili Crunch’ keluaran Momofuku. – Gambar Momofuku, 16 April, 2024

“Jika Kraft Heinz menghubungi saya (dengan surat berhenti dan larangan), ia menyakitkan.

“Tetapi kenyataan bahawa itu Momofuku membuat saya berasa sangat sedih,” kata Tew yang memberi kredit kepada Chang yang berketurunan Korea kerana membantu mengangkat makanan Asia sebagai hidangan utama.

Peguam Tew, Stephen Coates, menggambarkan Momofuku sebagai ‘pengganas jenama dagang’.

“Ini adalah kes yang jelas di mana mereka memilih perniagaan kecil dengan kempen surat, berharap mereka akan tunduk kerana tekanan kewangan.

“Jika pesaing kecil tunduk di bawah tekanan undang-undang dan menghapuskan perkataan chili crunch dari produk mereka, perencah Momofuku akan kelihatan lebih berbeza, seterusnya membantu mereka dalam misi mendapatkan hak cipta berdaftar, tambahnya.

Kedua-dua jenama menjual perencah cili mereka pada harga US$13 (kira-kira RM62) sebotol, namun saiz dihasilkan Momofuku untuk produk itu adalah 150 gram (g) sebotol, manakala Homiah seberat 250g.

Pada tahun 2022, Momofuku mengambil tindakan undang-undang terhadap restoran Manhattan, Yuzu Kitchen kerana pencabulan hak cipta, tetapi kemudian menarik balik tuntutannya.

Yuzu Kitchen sejak itu ditutup, tetapi Momofuku terus berkembang, dengan penjualan AS$50 juta (RM239 juta) tahun lalu.

Salah sebuah cawangan Momofuku Noodle Bar di New York. – Gambar Facebook Momofuku Noodle Bar, 16 April, 2024

Chang sendiri bernilai US$60 juta, dengan restoran di seluruh AS, Kanada dan Australia.

Beliau turut membintangi siri Netflixnya sendiri, Ugly Delicious dan Dinner Time Live with David Chang. – 16 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related