Wanita sasaran kes tembak di KLIA sedang hamil, suspek miliki 3 rekod jenayah lampau

Operasi memburu suspek masih diteruskan dan polis sudah menggerakkan pasukan dan mewujudkan kawalan ketat di sempadan negara

2:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Wanita yang menjadi sasaran tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal pagi tadi berada di peringkat awal kehamilan ketika kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek dikenali sebagai Hafizul Harawi, 38, adalah suami dan rakan kongsi perniagaan wanita yang menjadi sasaran.

Menurut beliau, motif di sebalik kejadian itu lebih kepada perihal peribadi antara suspek dan isterinya, sambil memaklumkan siasatan masih diteruskan.

Katanya, suspek membaling mercun ke arah orang ramai di sekitar kawasan itu sebelum menghampiri isterinya yang diiringi dua pengawal peribadinya.

“Satu das tembakan tersasar dan satu lagi das terkena pengawal peribadi. Mangsa yang disasarkan dalam kes ini selamat.

“Selepas melepaskan tembakan, suspek melarikan diri ke Tingkat 2, Blok C premis tempat dia meletakkan keretanya.

“Tembakan dilepaskan dari jarak tiga hingga empat meter daripada mangsa. Dalam kes ini, pengawal peribadi melakukan kerja yang sangat baik untuk menghalang tembakan daripada mengenai sasaran.

“Polis telah mengenal pasti suspek sebagai berbahaya kerana dia membawa senjata api,” katanya pada sidang media di Balai Ketibaan KLIA, hari ini.

Suhaily berkata, operasi memburu suspek masih diteruskan dan polis sudah menggerakkan pasukan dan mewujudkan kawalan ketat di sempadan negara.

“Orang ramai diminta memaklumkan kepada pihak polis sekiranya mereka mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu. Tolong jangan ambil tindakan sendiri,” katanya katanya.

Beliau berkata, peluru itu mengenai perut pengawal peribadi dan mangsa kini berada dalam keadaan koma, menunggu pembedahan sebaik keadaannya stabil.

Tambahnya, suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk beberapa laporan polis yang dibuat mangsa terhadapnya berhubung ugutan jenayah.

“Isteri membuat laporan polis mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, sekali pada 2016 dan terbaru pada Disember tahun lalu.

“Berdasarkan laporan ini, suspek telah ditahan polis, dan kami sudah menghantar kertas siasatan kepada pihak berkuasa berkaitan.

“Saya percaya mangsa mengupah pengawal peribadi berikutan kejadian pada Disember 2023.

“Selain dua laporan polis mengikut Seksyen 506, suspek turut berdepan satu lagi kes di bawah Seksyen 380/170 iaitu mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Jadi, ya, dia mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Bagaimanapun, Shuhaily berkata, polis juga sedang mempertimbangkan sama ada perlu menambah langkah keselamatan tambahan terhadap isteri suspek.

Katanya, polis menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan juga di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Bertambah) 1971.

Beliau juga berkata Bukit Aman sedang menyiasat perkara itu, kerana kejadian berlaku di salah satu pintu masuk negara.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan suspek dan isterinya kini dalam proses bercerai.

Beliau juga berkata, suspek dipercayai melarikan diri ke utara tanah air. – 14 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

PN’s Kuala Kubu Baharu candidate tight-lipped over loan shark debt allegation

A since deleted post on social media site X had said a PN candidate owed tens of thousands of ringgit to loan sharks

Related