Komplikasi pernafasan dialami anak buatkan Nadir nekad bawa keluarga keluar dari Gaza

Nadir berkata, beliau mampu bertahan apa sahaja keperitan di Gaza, termasuk apabila makanan dicatu, tetapi tidak sanggup melihat anak sakit

9:45 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hati bapa mana tidak sedih dan bimbang apabila anak kecilnya terpaksa berulang kali dibawa ke hospital akibat masalah kesihatan?

Situasi itu dialami Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman apabila anak bongsunya yang berada di Gaza mula mengalami komplikasi pernafasan dan terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam, sehingga beliau nekad membawa keluar keluarganya dari kawasan peperangan itu.

Nadir berkata, beliau masih bertahan di Gaza sejak peperangan itu tercetus enam bulan lalu walaupun hatinya ‘remuk’ melihat ramai ahli keluarga sendiri syahid, harta benda musnah dan hidup dalam keperitan setiap hari, namun tidak sanggup berdiam diri apabila anaknya berdepan masalah kesihatan.

“Adakah saya punya perancangan membawa keluar anak-anak sejak awal tercetusnya peperangan? Tidak pun. Saya sebutkan kepada keluarga di sana, bila sampai masanya, paling penting bila hati saya tenang mereka tetap akan keluar juga.

“Apabila keluarga mula berpindah dari rumah ke rumah, sekitar lima, enam kali di bandar Gaza sendiri, kemudian ke Khan Yunus berjalan kaki seterusnya ke Rafah pula, kami masih bertahan.

“Apabila rumah mertua dibom dan tinggal debu berterbangan, kami masih bertahan.

“Apabila mendapat berita rumah keluarga sebelah ayah anak saya (bapa kandung anaknya) dibom dan dua orang makciknya berserta suami serta semua anak syahid, kami masih bertahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, apabila tempat berlindung 60 orang ahli keluarga isteri, Reem Al-Minawi pula dibom dan beberapa orang syahid sementara yang lain dipotong kaki, cacat tangan dan kecederaan lain, beliau masih bertahan.

“Apabila berada di Khan Yunus dan makanan terpaksa dicatu, setiap hari diberikan separuh roti hanya bagi memastikan ada tenaga bersisa untuk bangkit esoknya, kami masih bertahan.

“Tetapi apabila anak bongsu saya mula mengalami komplikasi pernafasan, terpaksa dikejarkan beberapa kali ke hospital di tengah malam di bawah bedilan roket dan meriam, kami mula berfikir bahawa mungkin sudah cukup enam bulan kami bertahan.

“Lebih-lebih lagi apabila Rafah diancam untuk dilanggar musuh durjana melalui jalan darat tanpa belas kasihan, kami menyebutkan mungkin Allah aturkan jihad kami bukan dengan adanya nyawa kami yang perlu dikorbankan,” katanya.

Justeru, Nadir berkata, beliau menghubungi beberapa ulama di Palestin dan di Malaysia bertanyakan pandangan mereka mengenai hukum keluar daripada bumi perjuangan pada saat ini.

Katanya, jawapan diberikan ulama berkenaan seragam dan melegakan kerana mereka mengatakan tiada masalah untuk wanita serta kanak-kanak keluar, selagi ada niat kembali ke sana apabila keadaan membenarkan.

Malah, Nadir berkata, mereka sekeluarga beristikharah dan bertawakal, dengan memegang prinsip perjuangan tidak akan berakhir tetapi diteruskan walau bukan berada di medan peperangan.

“Justeru langkah memulakan misi bermula, roda-roda yang sudah lama diatur digerakkan dan alhamdulillah 1001 tangan membantu menjayakan. Semuanya dengan kuasa Allah dan dengan izinNya.

“Keluar Gaza tak bermakna perjuangan terhenti tetapi silat di medan baru akan bermula inshaAllah.

“Yang pasti, nikmat keluarga berada dalam keadaan selamat di sisi ialah nikmat yang saya harapkan untuk semua,” katanya.

Lebih sebak, Nadir berkongsi mengenai keterujaan anak-anaknya ketika dibawa membeli makanan, termasuk telur dan coklat selepas enam bulan mereka tidak menikmatinya akibat perang.

“Bayangkan, saya membawa anak-anak membeli keperluan, mereka bersorak melihat telur dan coklat kerana selama enam bulan, telur dan coklat menjadi idaman.

“Adakah kami sudah melakukan yang terbaik, secukupnya? Itu biarlah Allah yang menentukan. Doakan mereka di sana dan doakan kami juga,” katanya.

Pada Mei 2016, iaitu ketika beumur 29 tahun Nadir melangsungkan pernikahan dengan Reem yang memiliki lima anak selepas wanita itu kematian suaminya kerana syahid dalam perjuangan menentang Zionis.

Mereka berkenalan selama tiga tahun sebelumnya, iaitu ketika Nadir terbabit dalam misi kemanusiaan membantu rakyat Palestin dan membela anak yatim kematian bapa akibat syahid di Gaza. – 13 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related