Isu kalimah Allah, bak kut teh tak jejas sokongan pengundi, DAP boleh pertahan Kuala Kubu Baharu

Isu stoking kalimah ‘Allah’ tidak akan beri kelebihan kepada PN yang ‘lembab’ dalam memberi respons mereka

9:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu 3R (agama, kaum, diraja) termasuk kalimah Allah pada stoking dilihat tidak akan menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP untuk mengekalkan status quo pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, isu berkenaan juga tidak akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) sekiranya dijadikan modal mereka sepanjang tempoh berkempen kelak berikutan ‘lembab’ dalam memberikan respons berhubung isu stoking.

“Sokongan bukan Melayu kepada DAP tetap solid (kuat) biarpun ada isu berkait 3R, isu stoking kalimah Allah, bak kut teh atau Kampung Baru Cina.

“Bila timbul isu ini, PN nampak seperti ‘kurang mesra’ dengan isu tersebut yang lebih nampak pro ‘Melayu’ terutamanya isu kalimah Allah. Nampak PAS ‘slow’ sedikit, macam tak berapa nak sertai… nampak Umno lebih tegas.

“Jadi isu ini tidak akan memberikan kelebihan kepada PN. Atas kertas, PH menerusi DAP boleh mempertahankan Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada Scoop.

Prof Madya Dr Mazlan Ali berpendapat bahawa sokongan pengundi bukan Melayu kepada DAP tetap solid (kuat) biarpun ada isu berkait 3R, isu stoking kalimah Allah, bak kut teh atau Kampung Baru Cina – Gambar media sosial, 13 April, 2024

Beliau berkata, selain itu faktor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh memacu negara ini dengan baik dilihat turut memberi kelebihan kepada PH.

“Kalau kita lihat sepanjang tempoh raya ini, kita tidak dengar ada isu barang keperluan untuk raya tak cukup, atau harganya tinggi berlipat kali ganda, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Jadi ini mungkin boleh beri satu mood yang baik kepada pengundi. Malah kita juga tahu Kerajaan Perpaduan didominasi PH. Kerajaan negeri juga di bawah PH, jadi jentera pilihan raya ada kekuatan penuh,” katanya.

Mazlan berkata, sekiranya PH menang dengan majoriti lebih kecil, Kerajaan Perpaduan harus meneliti punca disebalik penurunan sokongan rakyat di kawasan tersebut.

“Kalau majoriti kecil, itu beri mesej bahawa rakyat tak gembira dengan kerajaan. Ini akan beri momentum kepada PN yang pastinya tidak akan menyasarkan boleh menang di situ, tapi tumpuan mereka pastinya mahu mengurangkan majoriti,” katanya.

Mazlan mengandaikan jika DAP dapat kekalkan 80 peratus undi bukan Melayu, mereka hanya perlukan 20 peratus sahaja undi Melayu untuk mereka menang seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini – Alif Omar/Scoop, 13 April, 2024

Tambah beliau, DAP juga harus meletakkan calon berbangsa Cina sekiranya mahu terus mengekalkan kerusi berkenaan.

“Jadi di atas kertas, orang bukan Melayu akan tetap sokong DAP. Jadi jika DAP kekal letak calon bangsa Cina, mereka boleh menang di situ.

“Mungkin undi Melayu 70 peratus pergi ke PN, tapi kena ingat Selangor ini negeri PH, orang Melayu yang sokong PH juga agak tinggi.

“Katalah DAP dapat kekalkan 80 peratus undi bukan Melayu, jadi mereka hanya perlukan 20 peratus sahaja undi Melayu untuk mereka menang seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, DUN Kuala Kubu Baharu dilihat sebagai ‘kubu kuat’ bagi PH.

Prof Madya Awang Azman Awang Pawi berpendapat bahawa isu setempat perlu diberikan tumpuan oleh calon bertanding bagi meraih undi berbanding isu nasional yang dilihat tidak relevan – Gambar laman web Universiti Malaya, 12 April, 2024

“Namun terdapat cabaran daripada PN yang cuba meraih undi Melayu di situ. Sekiranya ada pengurangan undi Melayu kepada PH, ia akan diperkuat oleh undi bukan Melayu.

“Perlu diingat juga ini dalam kawasan Selangor dan keputusannya tidak mengubah kerajaan negeri dan juga Persekutuan. PH juga perlu pastikan pengundi ‘putih’ mereka turun mengundi,” katanya.

Tambah beliau, isu setempat perlu diberikan tumpuan oleh calon bertanding bagi meraih undi berbanding isu nasional yang dilihat tidak relevan.

“Lebih baik mainkan isu seperki khidmat kepada rakyat, isu pihak berkuasa tempatan (PBT), isu kemudahan, masalah longkang dan penyelenggaraan, itu lebih dekat dengan pengundi.

“Pastikan juga letak calon yang disenangi dan mesra dengan penduduk setempat. Itu yang penting dan jangan ada pihak yang sabotaj parti masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Kee Hiong menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu di bawah Parlimen Hulu Selangor sejak 2013.

PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, membabitkan kira-kira 46 peratus pengundi Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus) dengan 40,226 pemilih berdaftar. – 13 April, 2024

Topics

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Dr Mahathir plotted against DAP during first Pakatan govt, Noh Omar claims

Former Umno man also questioned his former party's 'gratitude' to PH component, it's longtime rival.

Bar Council’s challenge of Pardons Board decision to reduce Najib’s sentence is ‘unprecedented’: Hamid Sultan

Retired judge says he has never heard of an attempt to impair a prisoner's constitutional rights, or an injunction to restrict their rights

Related