Kedai gunting rambut tak menang tangan menjelang Aidilfitri, lanjut operasi hingga 5 pagi!

Jika kebiasaannya mereka menerima 20 pelanggan sehari, jumlah itu meningkat kepada 60 sehari menjelang Hari Raya Aidilfitri

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tak menang tangan dan beroperasi hingga jam 5 pagi. Itu situasi kesibukan kedai gunting rambut serta salon di sekitar Lembah Klang menjelang Aidilfitri.

Bercakap kepada Scoop, pekerja Kedai Gunting Rambut Taman Sri Buloh di Sungai Buloh, Ikhwan Shukri, 25, berkata, pertambahan jumlah pelanggan yang kebiasaannya tiga kali ganda itu adalah keadaan biasa setiap kali 1 Syawal bakal menjelma.

Justeru, katanya, dia dan pekerja lain sudah bersedia menerima jumlah pengunjung yang ramai.

Menurutnya, waktu operasi kedai terpaksa dilanjut hingga 5 pagi pada 1 Syawal bagi memastikan pelanggan tampil kacak dan bergaya di hari raya.

“Semalam (Isnin) kami beroperasi hingga jam 5 pagi dan hari ini pun kami buka dari 11 pagi sampai ke Subuh esok (Rabu).

“Memang tak menang tangan tapi kami seronok dapat merapikan rambut pelanggan bagi persediaan Aidilfitri mereka.

“Macam semalam, 60 orang berkunjung ke kedai dengan perkhidmatan diberikan tiga orang pekerja. Kalau hari biasa, selalunya kami hanya dapat lebih kurang 20 pelanggan sehari, tapi berganda menjelang hari raya,” katanya yang menyediakan perkhidmatan menggunting rambut, mencukur misai dan jambang serta urutan kepala pada harga RM12 hingga RM15.

Ikhwan Shukri mencukur misai pelanggan yang membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di premisnya di Sungai Buloh. – Juliana Johar/Scoop, 9 April, 2024

Bagi warganegara India, Anoop Kumar Sharma, 35, yang sudah lapan tahun bekerja di Images Hair Salon, Kota Damansara, pelanggan tetapnya akan berkunjung ke premis berkenaan untuk memotong rambut atau mendapatkan gaya rambut baharu sempena perayaan itu.

Menawarkan caj perkhidmatan dari RM15 hingga RM20, Anoop berkata, pelanggan tidak putus-putus datang sejak kedai mula dibuka pada jam 10 pagi.

“Ini pun saya tak dapat duduk berehat lagi sejak kedai buka pagi tadi.

“Lepas seorang, seorang lagi datang. Memang ramai datang potong rambut last minute (saat akhir) sebab ada yang baru mula bercuti raya.

“Walaupun saya tak menyambut Aidilfitri, tapi saya pun terasa kemeriahan perayaan ini,” katanya.

Anoop Kumar Sharma merapikan rambut pelanggan di Images Hair Salon, Kota Damansara. Dia menggenakan caj dari RM15 hingga RM20. – Juliana Johar/Scoop, 9 April, 2024

Kakitangan swasta, Ismail Mubarak, 35, berkata, dia sempat mencuri masa dalam kesibukan membuat persiapan Aidilfitri untuk membawa anak lelakinya, Muhammad Aryan Naufal, 7, memotong rambut.

“Ini pun dah last minute, nasib masih sempat sebab baru hari ini dapat cuti raya.

“Saya memang selesa potong rambut di sini (premis luar bangunan) berbanding di salon dalam pusat beli-belah…harga berpatutan dan potongan mereka pun kemas serta rapi,” katanya.

Pekerja swasta, Muhd Haris Fadzillah Ismail, 38, pula sentiasa menjadikan hari terakhir Ramadan sebagai tradisi untuknya memotong rambut agar potongan itu masih kemas dan bersih di pagi raya.

“Saya memang suka potong last minute, nak nampak kemas raya pertama.

“Selain potong rambut, saya akan dapatkan perkhidmatan cukur misai untuk tampil dengan fresh look, barulah kelihatan kacak dan bergaya di hari raya,” katanya berseloroh.

Ismail Mubarak, 35, dan anaknya, Muhammad Aryan Naufal, 7, bergaya dengan rambut raya. – Juliana Johar/Scoop, 9 April, 2024

Sementara itu, penata rias rambut (hair stylist) di salon Hairover yang beroperasi di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya, Joanne Ang, 46, berkata, dia perlu bekerja lebih masa selama dua jam hingga 10 malam ini.

Ujarnya, ia berikutan tempahan diterima daripada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan di premisnya sudah dibuat.

“Kebiasaannya waktu operasi hingga jam 8 malam, tetapi kami extend (lanjutkan) hingga 10 malam demi memenuhi permintaan pelanggan. Hari ini sahaja kami sudah fully booked (tempahan penuh).

“Ramai pelanggan datang buat hair treatment (rawatan rambut), rebonding (meluruskan) dan mewarna rambut untuk tampil cantik menawan di pagi Aidilfitri,” katanya yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam bidang penggayaan rambut. – 9 April,2024

Topics

Hangat

Kuzai pilihan kami dari awal, penganjur perjelas isu pemilihan jurutera bunyi konsert Search

Pihak penganjur Big Stage Entertainment Channel tidak pernah menyenarai pendek nama Rahmad Ayob sebagai jurutera bunyi Konsert Search ‘Gemuruh’ yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Jun ini.

Petrol pain coming for Malaysia’s elderly – Sharon Koh, Juliana French, Jeff Wang and Tracey Danaher

Country ageing faster than many nations while living costs increase

Unity efforts deserve more allocation than Jakim, says Tun Dr Ismail’s son

Unity Ministry needs more funding given its importance to broader population, says Tawfik Ismail

Related