Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Kadang-kadang ketika kami makan bersama, tiba-tiba dia menangis terkenangkan Zayn yang selalu duduk di sebelahnya: Zahari

10:00 AM MYT

 

PETALING JAYA — “Dia kini berehat sebentar daripada menggunakan media sosial sebab tak tahan dengan komen (jahat) netizen mengenai kisah pembunuhan anaknya, Zayn Rayyan.”

Itu luahan dikongsikan Zahari Mohd Reba, 56, kepada Scoop susulan tindakan menantunya, Ismanira Abdul Manaf, 29, yang dilihat tidak aktif menggunakan media sosial seperti kebiasaannya sebelum ini.

Menurut Zahari, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu.

“Sehingga kini menantu masih lagi terkesan dan sedih dengan pemergian Zayn, kadang-kadang ketika kami makan bersama, tiba-tiba dia menangis terkenangkan Zayn yang selalu duduk di sebelahnya di meja makan.

“Ismanira pun sekarang sudah kurang aktif menggunakan media sosial, itu di atas keputusan dia sendiri sebab dia tak tahan dengan komen-komen negatif netizen sehingga ada yang mengaitkan dia dengan pembunuhan anak sendiri.

“Mestilah saya pun rasa sedih bila orang cakap dan tuduh sebegitu, mana ada ibu bapa yang nak bunuh anak sendiri,” katanya.

Zahari Mohd Reba turut sedih apabila ada netizen mengaitkan menantunya (Ismanira) dengan pembunuhan cucunya (Zayn Rayyan) – Azim Rahman/Scoop, 11 April, 2024

Dalam pada itu, Zahari juga turut menasihatkan anaknya, Zaim Ikhwan, 29, berpindah dari kediaman di Damansara Damai kerana bimbang kawasan tersebut tidak sesuai didiami untuk fasa tempoh perkembangan anak-anak.

Terkini, anak dan menantu serta cucu keduanya iaitu Zahin Matin, 5, kini menetap di Puncak Alam yang juga berdekatan dengan rumah Zahari yang terletak di Subang Bestari.

“Dari dahulu saya dah pesan kawasan (kediaman lama) tidak sesuai untuk perkembangan (membesarkan) anak-anak, saya suruh duduk rumah teres. Tapi mungkin masa itu keputusan mereka begitu, jadi saya hormat pandangan tersebut.

“Sekarang mereka pun dah berpindah ke rumah baharu di Puncak Alam dan ibu Zayn (kelihatan) lebih aman dan tenteram di sana.

“Anak saya (bapa Zayn) pula sudah boleh menerima pemergian Zayn tapi Matin (adik Zayn) masih kecil dan tidak mengerti apa-apa lagi, kadang-kadang dia ada tersebut nama Zayn, ke mana-mana mereka sentiasa berdua, tidur pun sekatil tapi sekarang abang dia sudah tiada lagi,” katanya.

Zahari yakin dengan kebolehan PDRM dan yakin pihak itu akan berjaya menangkap pembunuh cucunya tidak lama lagi – Azim Rahman/Scoop, 11 April, 2024

Ketika ditanya mengenai harapan mengenai kes cucunya itu, Zahari yakin dan percaya dengan kebolehan serta ketangkasan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes berkenaan.

“Saya harap polis tiada halangan (untuk selesaikan kes) dan dalam masa terdekat adalah tangkapan, apa-apa biar polis uruskan. Kita tunggu dan lihat apakah tindakan seterusnya daripada polis.

“Insya-Allah, saya yakin polis dapat tangkap penjenayah ini, tak lama lagi, mesti dapat punya (tangkap pembunuh Zayn).

“Walaupun mungkin bukan dalam masa terdekat ini, tapi saya yakin pembunuh Zayn akan tertangkap juga,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kematian Zayn diklasifikasi kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Walaupun PDRM mendapatkan khidmat bantuan siasatan daripada Polis Antarabangsa (Interpol) namun sehingga kini masih belum menemukan sebarang hasil positif.

Namun demikian, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberi jaminan siasatan terhadap kes tersebut tidak akan dihentikan meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

“Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.

“Siasatan masih diteruskan bagi mencari petunjuk dalam menyelesaikan kes ini,” katanya. – 11 April, 2024

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related