Isu KK Mart: Ketua Pemuda Umno dakwa berdepan ugutan bunuh

Ancaman itu diketahui selepas dimaklumkan seorang individu yang menghubunginya dan mendakwa terdengar perkara berkenaan

4:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Mohamad Akmal Saleh mendedahkan beliau berdepan ancaman bunuh, ekoran kelantangannya menggesa rangkaian kedai serbaneka, KK Mart diboikot susulan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di premis berkenaan.

Beliau berkata, ancaman itu diketahui selepas dimaklumkan seorang individu yang menghubunginya dan mendakwa terdengar perkara berkenaan.

“Hari ini, tadi dalam perjalanan nak ke program, saya dapat satu panggilan daripada hamba Allah yang menyatakan bahawa dia rasa risau dan sebagainya.

“Saya kata kenapa risau, dia kata bahawa dia mendengar ada satu ugutan bunuh terhadap saya yang nyatakan jika Ketua Pemuda Umno ini terus bercakap mengenai soal KK Mart, dia pasti akan mati satu hari nanti,” katanya.

Dr Akmal berkata, individu terbabit mendakwa ugutan itu kedengaran serius, menyebabkan pemanggil itu melaporkannya.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu berkata, beliau akan membuat laporan polis pada jam 5.30 petang ini berhubung ugutan terbabit untuk melindungi beliau dan keluarganya.

Bagaimanapun, Akmal berkata, ugutan itu tidak akan sesekali melemahkan semangatnya dan beliau tetap akan menggesa supaya premis berkenaan diboikot.

“Tapi insya-Allah jangan risau semua, saya tidak akan berganjak walau seinci, pendirian saya akan tetap sebab apa, saya percaya dalam surah Muhammad, Allah kata Ayat 7 kalau kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu, malah akan meneguhkan lagi pendirian kamu.

“Kita ada Allah, lillahi ta’ala, insya-Allah saya serahkan kepada Allah dan juga pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya, jangan mengalah, kekal boikot,” katanya.

Kes penjualan stoking tertera kalimah Allah itu hangat diperkatakan selepas ia ditularkan seorang individu di media sosial sejak 13 Mac lalu, sekali gus menerima liputan dan reaksi meluas pelbagai pihak.

Susulan itu, Dr Akmal mencetuskan kempen Boikot KK Mart dan menggesa orang ramai memboikot kedai serbaneka berkenaan sebagai pengajaran kepada sesiapa yang menyentuh isu sensitif membabitkan 3R (kaum, agama dan institusi raja).

Menurutnya, masyarakat Melayu-Islam sudah jemu dengan salah laku tidak berkesudahan membabitkan agama mereka, diikuti permohonan maaf yang tidak bermakna.

Biarpun menerima pelbagai kritikan, termasuk dalam kalangan segelintir Menteri dan pemimpin kerajaan, Dr Akmal tetap dengan gesaan dan pendiriannya supaya kempen boikot itu dipergiatkan. – 26 Mac, 2024

Topics

Hangat

Petrol pain coming for Malaysia’s elderly – Sharon Koh, Juliana French, Jeff Wang and Tracey Danaher

Country ageing faster than many nations while living costs increase

Unity efforts deserve more allocation than Jakim, says Tun Dr Ismail’s son

Unity Ministry needs more funding given its importance to broader population, says Tawfik Ismail

Kuzai pilihan kami dari awal, penganjur perjelas isu pemilihan jurutera bunyi konsert Search

Pihak penganjur Big Stage Entertainment Channel tidak pernah menyenarai pendek nama Rahmad Ayob sebagai jurutera bunyi Konsert Search ‘Gemuruh’ yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Jun ini.

Related